Wednesday, March 23, 2011

Saman Malu Slander

MALAYSIA

DALAM MAHKAMAH SESYEN DI ALOR SETAR

NEGERI KEDAH DARUL AMAN

GUAMAN SIVIL NO 51-43-08

ANTARA

T K ... PLAINTIF

DAN

1. INSPEKTOR S

2. KETUA POLIS DAERAH J

3. KERAJAAN MALAYSIA ... DEFENDAN-DEFENDAN

ALASAN PENGHAKIMAN.

[1] Di dalam kes ini Plaintif telah memulakan tindakan terhadap Defendan-defendan atas kausa tindakan fitnah secara lisan (slander).

[2] Melalui keterangan saksi-saksi fakta kes telah menunjukan bahawa pada 15/06/2008 jam lebih kurang 3.30 pagi, Defendan Pertama dan sembilan orang anggotanya telah membuat satu serbuan di rumah Plaintif berhubung kes kecurian road roller yang mana melalui carian Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), motorsikal Plaintif bernombor KAL 2727 disyaki terlibat. Pada masa itu Plaitif yang sedang tidur di tingkat atas telah terjaga dari tidurnya berpunca dari kehadiran anggota-anggota serbuan tersebut di hadapan rumahnya. Mengikut keterangan Plaintif (SP1) salah seorang anggota polis tersebut menjerit padanya “hoi, buka pintu, polis.” Plaintif kemudiannya telah membuka pintu rumahnya dan berlaku soal jawab diantara beliau dengan beberapa anggota polis tersebut berhubung motorsikal KAL 2727 tersebut dan kes kecurian road roller. Pada masa tersebut terdapat juga jiran-jiran Plaintif yang telah terjaga dari tidur mereka dan menyaksikan apa yang telah berlaku di halaman rumah Plaintif. Akibat dari kejadian ini Plaintif telah merasa malu dan terhina dan telah memulakan tindakan saman fitnah terhadap Defendan-defendan.

[3] Setelah mendengar keterangan semua saksi dan meneliti keterangan dokumentari, atas imbangan kebarangkalian Mahkamah telah menolak keseluruhan tuntutan Plaitif dengan kos.

[4] Bagi membuat tuntutan gantirugi atas saman fitnah, beban bukti adalah terletak pada bahu Plaintif untuk membuktikan elemen-elemen berikut iaitu:

i. Kata-kata yang dituturkan oleh Defendan adalah berbentuk fitnah.

ii. Kata-kata yang dituturkan adalah merujuk kepada Plaintif.

iii. Kata-kata tersebut disampaikan kepada pihak ketiga.

Mahkamah telah mendapati bahawa tiada satupun elemen-elemen di atas telah dibuktikan oleh Plaintif.

[5] Plaitif telah berhujah dengan mengatakan bahawa perbuatan, kelakuan anggota-anggota polis yang telah bertindak secara tidak wajar dan dengan tidak senonoh, dan juga telah bertindak sebagai pengkhidmat, pekerja atau ejen, Defendan Pertama telah secara terang-terang menuduh Plaintif sebagai orang yang telah mencuri menggunakan motorsikal nombor pendaftaran KAL 2727. Namun adalah jelas dari keterangan Plaintif sendiri dan keterangan saksi-saksi yang lain bahawa pihak polis tidak menuduh Plaintif melakukan kecurian tersebut.

[6] Mahkamah juga mendapati bahawa tindakan polis yang hadir ke rumah Plaintif pada pagi tersebut tidak berbentuk fitnah. Kausa tindakan fitnah hanya terbahagi kepada dua jenis iaitu libel dan slander. Amnya libel adalah fitnah dalam bentuk kekal, misalnya tulisan, dalam bentuk lukisan dan sebagainya. Manakala slander adalah fitnah dalam bentuk sementara dan lazimnya merujuk kepada penyataan fitnah secara lisan. (Rujuk Norchaya Talib : Prinsip-prinsip Asas Tort, Sweet & Maxwell Asia 2006). Di dalam kes ini jelas sekali ia bukan kausa fitnah libel dan jika demikian ia adalah slander.

[7] Seksyen 5 Akta Fitnah 1957 telah memperuntukan bahawa

Section 5. Slander affecting official, professional, or business reputation.

In an action for slander in respect of words calculated to disparage the plaintiff in any office, profession, calling, trade or business held or carried on by him at the time of the publication, it shall not be necessary to allege or prove special damage whether or not the words are spoken of the plaintiff in the way of his office, profession, calling, trade or business.

Oleh itu bagi fitnah lisan (slander) di bawah seksyen 5 Akta Fitnah tersebut, Plaintif mestilah menunjukan perkataan yang didakwa berbentuk fitnah merujuk kepada jawatan atau profesyen beliau. Jika tidak, Plaintif haruslah membuktikan beliau mengalami kerugian khas. (Rujuk kes John Tan Chor-Yong v. Lee Chay Tian [1971] 1 MLJ 240)

[8] Di dalam kes ini, perkataan spesifik yang berbentuk fitnah tidak diplidkan oleh Plaintif. Walau bagaimanapun terdapat perkataan yang diplidkan oleh Plaintif di dalam Pernyataan Tuntutannya seperti berikut:

a) ”Hoi, buka pintu, Polis” (Perenggan 5)

b) ”Siapa Thiagaraj a/l Kandasamy” (Perenggan 8)

c) ”Siapa tuan punya motorsikal KAL 2727” (Perenggan 9)

Mahkamah mendapati semua perkataan ini tidak langsung atau tidak boleh difahami sebagai merujuk kepada jawatan atau profesyen Plaintif. Oleh yang demikian, Plaintif mestilah membuktikan beliau mengalami kerugian khas yang mana Plaitif telah gagal berbuat demikian. Tiada langsung keterangan yang menunjukan bahawa Plaintif telah mengalami kerugian khas. (Rujuk C. Sivanathan v. Abdullah Bin Dato’ Haji Abdul Rahman [1984] 1 MLJ 62)

[9] Mahkamah juga mendapati dakwaan fitnah oleh Plaintif adalah terhad kepada jiran Plaintif sahaja iaitu En. Pang Woo Kean (SP2). SP2 telah memberikan keterangan bahawa beliau kenal Plaintif selama lebih kurang 17 tahun sebagai jiran. SP2 juga tahu bahawa orang yang hadir di rumah Plaintif pada pagi tersebut adalah anggota polis dan pandangan beliau terhadap Plantif selepas kejadian tersebut tidak berubah langsung. Oleh itu Plaintif tidak langsung mengalami apa-apa kerugian reputasi akibat dari kejadian tersebut.

[10] Atas alasan-alasan seperti di atas, maka Mahkamah menolak tuntutan Plaitif dengan kos.

Bertarikh: 22 HB. MAC 2011


Hakim Mahkamah Sesyen Khas (PATI)

Alor Setar. Kedah.

Pihak-pihak:

Bagi Pihak Plaintif:


Bagi Pihak Defendan


No comments: