Tuesday, March 22, 2011

Sek. 12(2) Akta Dadah Berbahaya 1952 (pindaan 1983) dan boleh dihukum di bawah sek. 39A(2) akta yang sama.

MALAYSIA

DALAM MAHKAMAH SESYEN DI ALOR SETAR

NEGERI KEDAH DARUL AMAN

PERBICARAAN JENAYAH NO 62-29-09

PENDAKWARAYA LAWAN AHMAD BIN BAHAROM

ALASAN PENGHAKIMAN.

[1] Di dalam kes ini tertuduh telah dituduh dengan dua pertuduhan seperti berikut:

Pertuduhan Pertama:

Bahawa kamu pada 30hb. Disember 2008 jam lebih kurang 1.30 petang di rumah tidak bernombor K.M 6.5 Kg. Teluk Layang, Mukim Teluk Chengai Jalan Kuala Kedah Alor Setar di dalam Daerah Kota Setar, di dalam negeri Kedah dengan tanpa kebenaran telah ada dalam jagaan kamu dadah merbahaya jenis “heroin” seberat (6.12 gram) berat bersih dan “monoacetylmorphines” seberat (0.46 gram) berat bersih. Oleh yang demikian kamu telah melakukan satu kesalahan di bawah sek. 12(2) Akta Dadah Berbahaya 1952 (pindaan 1983) dan boleh dihukum di bawah sek. 39A(2) akta yang sama.

Pertuduhan Kedua:

Bahawa kamu pada 30hb. Disember 2008 jam lebih kurang 1.30 petang di rumah tidak bernombor K.M 6.5 Kg. Teluk Layang, Mukim Teluk Chengai Jalan Kuala Kedah Alor Setar di dalam Daerah Kota Setar, di dalam negeri Kedah dengan tanpa kebenaran telah ada dalam jagaan kamu dadah merbahaya jenis “Cannabis” seberat (18.86 gram) berat bersih dan “monoacetylmorphines” seberat (0.46 gram) berat bersih. Oleh yang demikian kamu telah melakukan satu kesalahan di bawah sek. 6 Akta Dadah Berbahaya 1952 dan boleh dihukum di bawah seksyen yang sama.

[2] Pihak pendakwaan telah memanggil seramai tujuh orang saksi bagi membuktikan kesnya. Pada akhir kes pendakwaan, mahkamah mendapati bahawa kes prima facie gagal dibuktikan bagi kedua-dua pertuduhan dan dengan itu telah melepaskan dan membebaskan tertuduh daripada kedua-dua pertuduhan tersebut.

[3] Melalui keterangan saksi-saksi pihak pendakwaan, fakta kes menunjukan bahawa pada 30.12.2008, Insp. Faroukh Fasha Bin Baharudin (SP4) telah menjalankan satu Operasi Tapis di kawasan kampung Teluk Layang, Kuala Kedah. Beliau bersama-sama 10 orang anggota telah melakukan serbuan ke atas sebuah rumah tidak bernombor di K.M. 6.5 Kg. Teluk Layang, Kuala Kedah. Pada masa serbuan dilakukan hanya terdapat dua orang budak perempuan di rumah tersebut. SP4 kemudiannya telah jalankan siasatan di dalam rumah tersebut tetapi tidak menemui apa-apa barang salah.

[4] Seterusnya SP4 bersama pasukannya telah memeriksa bahagian stor yang terletak di sebelah rumah bahagian belakang. Oleh kerana pintu stor tersebut dalam keadaan berkunci, SP4 telah arahkan D/Kpl Razali untuk mengumpil kunci tersebut. Setelah pintu berjaya dibuka, SP4 bersama-sama D/Kpl Suhaimi Kamal Bin Kamarul Bahrin (SP5) dan D/Kpl Razali telah membuat pemeriksaan di dalam stor tersebut.

[5] Pemeriksaan di dalam stor tersebut oleh SP5 telah menjumpai 1 kotak rokok jenis Dunhill 20 batang di dalamnya mengandungi dua plastik lutsinar berisi tumbuhan kering yang disyaki ganja. Turut dijumpai empat plastik hitam yang mana tiga daripadanya setiap satunya mengandungi 10 paket plastik lutsinar mengandungi serbuk disyaki heroin manakala satu lagi plastik hitam mengandungi enam paket plastik lutsinar mengandungi serbuk disyaki heroin. SP4 kemudiannya membuat rampasan terhadap kesemua barang kes yang ditemui.

[6] Setelah pemeriksaan dijalankan dan penemuan barang kes, telah datang seorang perempuan Melayu yang memberitahu kepada SP5 bahawa beliau adalah ibu kepada dua orang budak perempuan tersebut. Perempuan Melayu tersebut kemudiannya telah di bawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah Kota Setar bersama-sama dengan dua orang budak perempuan tersebut.

[7] Setelah beberapa jam berlalu, tertuduh iaitu suami kepada perempuan Melayu tersebut telah datang ke Pejabat Narkotik dan telah ditangkap dan kemudiannya telah dituduh di mahkamah di dalam kes ini.

[8] Bagi membuktikan suatu kes prima facie terhadap tertuduh di atas pertuduhan ada di dalam jagaan tertuduh dadah berbahaya, pihak pendakwaan haruslah terlebih dahulu membuktikan bahawa hanya tertuduh sahaja yang mempunyai akses kepada dadah tersebut. Di dalam kes ini tidak dapat dibuktikan bahawa hanya tertuduh sahaja yang mempunyai akses tersebut. Daripada keterangan saksi pendakwaan sendiri iaitu Rodziah Binti Sidek (SP6) tidak menunjukkan bahawa hanya tertuduh yang mempunyai akses kepada stor tersebut.

[9] Tertuduh juga perlu dibuktikan mempunyai pengetahuan keatas dadah tersebut. Di dalam kes ini pihak pendakwa telah gagal untuk membuktikan bahawa tertuduh mempunyai pengetahuan atau jagaan ke atas dadah tersebut. Adalah tidak memadai bagi pihak pendakwa dengan hanya membuktikan bahawa dadah tersebut telah dijumpai di dalam stor rumah yang didiami oleh tertuduh maka dadah tersebut adalah berada di dalam kawalan tertuduh sedangkan sewaktu dadah tersebut dijumpai tertuduh tiada di rumah dan terdapat pihak lain juga mempunyai akses terhadap stor tersebut.

[10] Keterangan ikut keadaan tidak menunjukkan bahawa tertuduh dan hanya tertuduh seorang sahaja yang mempunyai akses terhadap stor tersebut. Adalah jelas dari keterangan SP4 bahawa stor tersebut adalah dalam keadaan berkunci dengan mangga “solex” (eks. P27). Namun keterangan bagaimana eks. P27 dan kunci mangga tersebut (eks. P27A) diperolehi adalah tidak jelas. TPR telah berhujah mengatakan kunci tersebut diperolehi daripada tertuduh, tetapi mahkamah mendapati terdapat persoalan yang tidak jelas tentang perkara ini. Mengikut keterangan SP5 beberapa jam selepas serbuan dilakukan, tertuduh telah datang ke pejabat Narkotik. Beliau telah membuat pemeriksaan kepada anak kunci yang ada pada tertuduh dan ia menunjukkan sepadan dengan mangga yang di bawa balik ke pejabat. Persoalannya kenapa Senarai Bongkar (eks. P20) tidak menyebut tentang mangga solex yang dirampas (eks. P27) di tempat kejadian dan juga Senarai Bongkar (eks. P23) tidak menyebut tentang anak kunci (eks. P27A) yang dirampas daripada tertuduh? SP4 juga tidak menyatakan bahawa beliau telah rampas eks. P27A daripada tertuduh. Juga tiada senarai geledah di buat untuk eks. P27A. Oleh itu kaitan eks. P27A dengan tertuduh tidak dapat dipastikan bagi menunjukan hanya tertuduh seorang sahaja yang mempunyai akses kepada stor tersebut.

[11] Adalah jelas bahawa pihak Pendakwaan tidak dapat menunjukkan bahawa tertuduh mempunyai kawalan dan jagaan eksklusif terhadap bahan-bahan yang dirampas. Di dalam perkara ini Mahkamah juga harus mengambilkira keterangan isteri tertuduh Rodziah Binti Sidek (SP6) yang menunjukan bahawa tertuduh tidak mempunyai kawalan eksklusif terhadap bilik stor tersebut. Oleh itu, tidak boleh dikatakan bahawa Tertuduh mempunyai kawalan dan jagaan eksklusif terhadap barang kes yang dijumpai.

[12] Jagaan (custody) ada diterangkan di dalam kes Leow Nghee Lim v. R [1956] 22 MLJ 28 sebagai berikut:

“Custody and control means having care or guardianship. Goods in custody are in the care of custodian and, by necessary implication; he is taking care of them in behalf of someone else and have the means of exercising control over them. Custody therefore implies knowledge of the existence and whereabouts of the goods and power of control over them, not amounting to possession.”

Manakala di dalam kes Tan Thong Jin lwn Pendakwa Raya [2002] 3 MLJ 695 Mahkamah Rayuan telah menyatakan di muka surat 702 seperti berikut:

“Having scrutinized the evidence in its entirety we are of the view that the following matters constitute some of the unsatisfactory features of the case:

(i) The door to the said room was locked when the appellant took up the tenancy and the key to it was not given to him. According to the prosecution, when the police party went to the house the said room was not locked but was shut and that the door knob was damaged. It is apparent from the judgment that based on these facts the learned Judge must have inferred that it was the appellant, being the tenant, who had forced open the door to the said room which accounted for the presence of the dangerous drugs and other incriminating exhibits in the said room. In coming to such inference the learned Judge failed to appreciate that there were other persons who had access to the house, that is to say the appellant’s girlfriend whom he took to the house about 3 times a week, his friends whom he took to the house to watch video, his visitor as confirmed by SP4 when she returned to the house to collect the refrigerator and possibly DW5. Anyone of them could have done the same, especially DW5 who was detained under the preventive measures legislation after the arrest for his involvement in drug trafficking. Therefore, it was wrong for the learned Judge to attach Criminal liability, that is to say, exclusive custody or control of the dangerous drug on the appellant merely because he was the tenant of the house and that SP3 and SP4 denied the dangerous drugs as theirs.”

[13] Dalam kes ini seperti mana dalam kes yang dirujuk di atas, adalah jelas bahawa terdapat beberapa orang lain lagi yang tinggal di rumah tersebut. Oleh itu kewujudan SP6, 3 orang anak SP6 dan pekerja-pekerja sawah telah menimbulkan keraguan yang munasabah sama ada Tertuduh mempunyai kawalan dan jagaan eksklusif bahan-bahan tersebut. Dalam kes Abdullah Zawawi Bin Yusoff lwn Pendakwa Raya [1993] 3 MLJ Mahkamah Agong telah menyatakan di muka surat satu seperti berikut:

“The onus was not on the defence to prove possibility of access by others but on the prosecution to exclude such possibility.”

[14] Di dalam kes Choo Yoke Choy v. Public Prosecutor [1992] 2 MLJ 632, Mahkamah Agong di dalam keputusannya telah memutuskan bahawa:

“Berhubung dengan penjumpaan dadah di dalam bilik perayu, keterangan di hadapan mahkamah tidak mencukupi untuk membuktikan bahawa perayu sendiri mempunyai dadah itu di dalam jagaannya atau di bawah kawalannya kerana terdapat dua orang yang tinggal di bilik itu pada masa yang penting itu. Pihak pendakwa oleh itu mesti membuktikan yang jagaan atau kawalan dadah itu ada pada kedua-dua perayu dan isterinya dengan membuktikan suatu niat bersama antara mereka jika pihak pendakwa hendak berjaya.

[15] Atas alasan-alasan yang saya nyatakan di atas mahkamah telah memutuskan bahawa kes prima facie gagal dibuktikan atas semua pertuduhan terhadap tertuduh. Pihak Pendakwaan telah gagal membuktikan Tertuduh mempunyai kawalan dan jagaan eksklusif bahan-bahan berkenaan dan ini bermakna satu elemen yang penting dalam tuduhan tidak dapat dibuktikan dan atas sebab ini maka tertuduh dilepaskan dan dibebaskan daripada pertuduhan tanpa dipanggil membela diri.

Bertarikh: 16 HB. MAC 2011


Hakim Mahkamah Sesyen Khas (PATI)

Alor Setar. Kedah.


Pihak-pihak:

Bagi Pihak Pendakwaan:

En. Mohamad Rizal B. Fazil

(Timbalan Pendakwa Raya)

Bagi Pihak Tertuduh

En. Pyara Singh a/l Dara Singh

(Tetuan Andrew Paul & Associates)

No comments: