Tuesday, October 28, 2008

Apa Itu Kemurungan

Kemurungan adalah satu bentuk gangguan emosi paling umum. Gangguan kemurungan sebenarnya merupakan satu penyakit biasa dan lebih umum daripada hipertensi atau diabetes. Kadar kelaziman kes kemurungan dalam sesebuah jangka hayat di mana-mana negara adalah antara lapan hingga 10 peratus. Beberapa kajian oleh Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) dan Bank Dunia mendapati kemurungan adalah penyakit keempat paling serius dalam melumpuhkan jiwa seseorang di dunia.

Kajian menunjukkan bahawa gangguan ini juga menjadi punca kematian paling umum akibat membunuh diri. WHO menganggarkan kematian akibat bunuh diri di rantau Asia Pasifik adalah lebih tinggi daripada penyakit tibi.

Wanita adalah lebih cenderung menghidap kemurungan berbanding lelaki dengan kadar nisbah 1:2. Beberapa laporan berasingan mendedahkan kira-kira sembilan peratus daripada rakyat Malaysia adalah pesakit yang mengalami kemurungan tahap serius. Selari dengan perangkaan global, kemurungan juga merupakan penyakit keempat serius di Malaysia. Tetapi jika mengikut pecahan jantina, ia berada di tangga ketiga bagi wanita dan ke-10 bagi lelaki.

Menurut Manual Diagnostik dan Statistik Masalah Mental IV (DSM-IV), diagnosis kemurungan hanya boleh dilakukan jika terdapat sekurang-kurangnya lima simptom kemurungan yang hadir untuk tempoh sependek dua minggu. Signifikan kehadiran simptom-simptom ini perlu ketara sehingga menjejaskan aspek sosial dan pekerjaan seseorang.

Simptom-simptom itu termasuk:
Emosi negatif
Anhedonia (perkataan Greek bermakna tiada kenikmatan; tidak dapat merasa nikmat daripada aktiviti harian yang digemari)
Perasaan tidak endah
Hilang minat dan rasa seronok
Hilang minat terhadap hubungan seks
Perasaan sedih
Rasa letih
Hilang berat badan dan selera makan secara mendadak
Mengalami gangguan tidur
Mudah sensitif
Resah
Keliru
Kadar konsentrasi yang lemah
Kesunyian
Perasaan negatif: Hilang harapan, rasa tidak berguna, rasa bersalah, ingin membunuh diri
Masalah-masalah fizikal termasuk: sakit belakang, sakit kepala, pening, kesakitan kronik dan masalah perut.

Diagnosis

Untuk mendiagnosis kemurungan, masalah perubatan lain yang mungkin mengakibatkan simptom-simptom yang sedang dialami pesakit perlu disingkirkan terlebih dahulu. Tiada satu punca tertentu yang mengakibatkan kemurungan. Masalah ini biasanya berpunca daripada gabungan beberapa faktor. Berikut adalah antara kemungkinan yang boleh menyebabkan rasa murung:

Faktor-faktor psikologi: Tekanan daripada sesuatu situasi atau persekitaran dan kejadian (trauma) tertentu.
Faktor genetik, rasa rendah diri, penyakit fizikal yang kronik atau serius.

Nota: Saya sedang mencari bahan untuk Kertas Tugasan PTK4. Entry kali ini adalah berkaitan Kertas Tugasan saya dan saya ambil bulat-bulat dari myadha.blogspt.com. Terimakasih kepada adha kerana memberikan kebenaran untuk saya ceduk dan republish entry ini.

No comments: